Realiti kehidupan amat pahit untuk ditelan sedangkan khayalan lebih indah untuk di ingati…

Hanya Allah tempat mengadu kerana Allah Maha Berkuasa…


Nuffnang X

September 29, 2010

Hj Tan Ahmad bin Muhammad Zain.


Haji Tan Ahmad bin Muhamad Zain dilahirkan di Kampung Kuala Jerang, Durian Tipus, Jelebu pada November 1921. Nama penuhnya ialah Dato´ Haji Tan Ahmad bin Muhamad Zain bin Haji Chek Muhamad Sholleh bin Haji Chek Mahmud bin Haji Chek Ibrahim bin Chek Musa. Chek Musa pula adalah Cina Islam berasal dari Kuantung, China.
Ibu Haji Tan Ahmad bernama Haliah binti Muhamad Sholleh yang keturunannya dari Pagar Ruyung, Sumatera. Kebanyakan mereka adalah tokoh agama kampung yang berwibawa dan amat dipercayai. Haji Tan Ahmad adalah anak bongsu kepada enam adik beradik, iaitu tiga lelaki dan tiga perempuan.
Kampung Jerang terletak lebih kurang tiga kilometer dari Durian Tipus. Durian Tipus sebelum ini adalah sebuah pekan yang agak sibuk dan didominasi oleh kaum Cina kerana terdapat kawasan penempatan Kampung Baru Cina di sini sewaktu darurat dahulu. Tetapi selepas terjadi kebakaran besar pada akhir tahun 1970-an, pekan ini telah dikosongkan dan sebuah pekan baru diwujudkan di Simpang Durian, kira-kira dua kilometer dari tapak asal.
Haji Tan Ahmad mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Durian Tipus sehingga Darjah 5. Dalam tempoh tersebut, beliau turut belajar agama di bawah asuhan abangnya, Lebai Muhammadiah. Pelajaran agama yang diajarkannya termasuklah ilmu Tauhid, Feqah dan Nahu Saraf Bahasa Arab. Abangnya itu merupakan murid kanan kepada Tuan Sheikh Muhammad Said Jamaluddin al-Linggi.
Selepas itu, dalam usia yang begitu muda, iaitu dalam tahun 1929, beliau telah didorong oleh abangnya supaya belajar agama secara memondok di Pondok Gajah Mati, Kedah selama lima tahun. Tuan Guru pondoknya bernama Wan Ibrahim atau dikenali juga dengan nama Pak Cu Him. Haji Tan Ahmad diberi pentarbiahan secara langsung dalam ilmu agama serta mendalami beberapa bidang lain seperti ilmu Tafsir dan Hadis.
Selepas itu, beliau meneruskan pengajian di Pondok Sungai Semambu Tanah Liat, Bukit Mertajam selama lima tahun pula di bawah asuhan Tuan Guru Sheikh Abdul Majid Masri Awang. Di sini, beliau sempat belajar ilmu Mantik, Bayan, Ma´ani, Feqah dan lain-lain lagi. Kemudian beliau dibenarkan oleh gurunya mengajar di pondok tersebut.
Haji Tan Ahmad terdorong pula untuk ke Kelantan untuk menimba ilmu dari Serambi Mekah itu. Selain Kedah, Kelantan adalah pusat pengajian pondok yang tersohor di rantau ini. Di sana pondok-pondok pengajian Islam tumbuh dengan subur dan beribu penuntut dari pelbagai negeri hingga dari Indo China datang untuk menimba ilmu.
Bumi yang subur itu banyak melahirkan para ulama yang besar. Beliau berguru dengan Tuan Guru Haji Saad Kangkung dan sempat belajar beberapa kitab utama daripada Tuan Guru yang terkenal ini. Pada 12 Mei 1941, Haji Tan Ahmad mendapat kebenaran bertulis daripada Majlis Agama Islam Negeri Kelantan untuk mengajar agama.
Dalam pada itu, beliau masih meluangkan masanya untuk mengaji di Pondok Tuan Guru Haji Chek Ali bin Chek Hussien. Di sini beliau belajar ilmu Faraid dan lain-lain lagi. Kemudian diberi kebenaran mengajar di pondok tersebut.
Haji Tan Ahmad menamatkan zaman bujangnya apabila bertemu jodoh dengan Rahmah binti Nung Hussien pada 24 Julai 1943. Beliau dikurniakan 10 orang cahaya mata, enam daripadanya adalah lelaki.
Selepas perang tamat pada tahun 1946, Haji Tan Ahmad pulang ke kampung halamannya. Kepulangan beliau memeriahkan lagi suasana pengajian agama di sana kerana beliau dan abangnya menjadi tempat rujukan penduduk setempat. Abangnya sendiri telah dilantik sebagai Ahli Majlis Syariah Negeri Sembilan. Haji Tan Ahmad mendapat tauliah mengajar agama dan membuka pondok di Masjid Kuala Jerang.
Malangnya pondok tersebut terhenti aktiviti apabila negara diisytiharkan darurat pada tahun 1948. Kawasan Durian Tipus dianggap kawasan hitam kerana kewujudan perkampungan Cina yang memudahkan golongan subversif seperti komunis untuk bermaharajalela. Haji Tan Ahmad pernah dilantik menjadi ketua kampung ketika darurat dan penduduk kampung pernah dikerah memasang pagar kawat duri bagi mengawal pergerakan komunis.
Pada 1 April 1956, Kerajaan Negeri Sembilan ketika itu telah melantik Haji Tan Ahmad sebagai Kadi bagi daerah Durian Tipus. Peringkat awalnya, rumah beliau telah dijadikan pejabat urusan keagamaan. Beliau telah memegang jawatan tersebut selama 20 tahun tujuh bulan dan 29 hari. Bersara pada 30 November 1976. Haji Tan Ahmad kemudiannya dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Syariah Majlis Agama Islam Negeri berkuatkuasa pada 1 Januari 1982 hingga akhir hayatnya.
Dalam tempoh hayatnya, Haji Tan Ahmad sangat aktif mengajar agama di Masjid dan surau-surau sekitar Durian Tipus. Antaranya, Masjid Kuala Jerang, Simpang Durian, Felda Pasoh 1, Sungai Buloh dan Masjid Kampung Lakai. Kebiasaannya beliau mengajar ilmu Tasawuf, Tafsir, dan Feqah.
Bagi mengenang jasa beliau dalam bidang agama dan penglibatan dalam masyarakat, maka Kerajaan Negeri Sembilan telah menganugerahkan Pingat Jasa Kebaktian (PJK) pada 19 Julai 1974 dan gelaran Dato’ pada 19 Julai 1991.
Setelah mengabdikan sebahagian besar hidupnya kepada agama dan menjadi tempat rujukan yang disegani, Dato´ Haji Tan Ahmad bin Muhamad Zin pulang ke rahmatullah pada 24 Oktober 1995 (1416 Hijrah). Allahyarham dikebumikan di tanah perkuburan Kampung Jerang.
Sumber: Abu Hanzalah (Ummatan Wasatan)Terima kasih.
Sempena mengabadikan jasa Allahyarham, sebuah sekolah agama diletakkan dengan nama beliau iaitu Sekolah Menengah Agama Dato' Hj Tan Ahmad di Simpang Durian, Jelebu Negeri Sembilan.  Allahyarham juga adalah datuk saudara saya.  Abang  beliau iaitu Lebai Muhammadiah ialah datuk saya (ayah kepada ayah saya).  Kakak beliau iaitu Aisyah ialah Nenek saya iaitu ibu kepada emak saya.  Ibu dan Bapa saya adalah sepupu.  Begitulah jasa seorang tokoh agama kepada kampung, daerah dan juga negeri saya iaitu Negeri Sembilan...Semoga Allah sentiasa mencucuri rahmat keatas roh mereka semua..Alfatihah...

No comments:

Post a Comment