Realiti kehidupan amat pahit untuk ditelan sedangkan khayalan lebih indah untuk di ingati…

Hanya Allah tempat mengadu kerana Allah Maha Berkuasa…


Nuffnang X

February 23, 2012

Doa untuk Menguatkan Ingatan.

Assalammualaikum..
Hari ini saya ingin berkongsi Ayat Al-Quran yang boleh diamalkan untuk menguatkan ingatan dalam pembelajaran... petikan Surah Al-Anbiya' ayat ke 79.

  [21:79] maka Kami telah memberikan pengertian kepada Sulaiman tentang hukum (yang lebih tepat) {967}; dan kepada masing-masing mereka telah Kami berikan hikmah dan ilmu dan telah Kami tundukkan gunung-gunung dan burung-burung, semua bertasbih bersama Daud. Dan kamilah yang melakukannya.
Semoga bersama kita mendapat manfaatnya.....

February 6, 2012

Hala tuju sistem pendidikan kita......

Assalammualaikum dan salam sejahtera....
Hari ini saya membaca satu artikel berkenaan lambakan guru dalam bidang Sains dan Matematik di negara ini yang mencecah 13,000 orang jika tidak silap saya...Para graduan perguruan samada Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) atau lepasan IPG saat ini sedang menunggu tempat untuk mereka mengajar.  Ada yang tamat pada bulan 8 2011dan seterusnya.  Ada yang bekerja sementara dan ada yang bekerja di pasaraya...Semangat berkobar-kobar untuk menjadi guru mendidik anak bangsa kian pudar memandangkan sekarang sudah memasuki bulan Februari 2012.  Ada perkhabaran mereka akan ditempatkan pada bulan Jun ini.  Hati ibu bapa yang gembira dengan Ijazah Pendidikan anak-anak mula berasa gusar dan gundah gulana. Perkhabaran Kementerian Pelajaran akan berbincang dengan Kementerian Pengajian Tinggi mengenai isu lambakan ini akan diadakan mungkin dapat mengurangkan gundah gulana itu.
Itulah senario di Malaysia.  Kementerian Pelajaran dan kementerian Pengajian Tinggi yang berkuasa dalam hala tuju pendidikan negara.   Itu belum lagi lambakan graduan yang menganggur dari tahun-tahun sebelumnya.  Ada yang bernasib baik dan ada yang kurang bernasib baik.  Ada yang terus mendapat pekerjaan selepas tamat mengaji dan ada yang masih menggigit jari hingga kini.....Jika ada yang kreatif dan motivasi tinggi mereka akan bekerja sendiri samada sebagai usahawan tani atau usahawan lain.  Ada yang mengeji dan mencaci kerana belajar begitu tinggi tetapi akhirnya menjadi usahawan tani atau usahawan masa kini.  Itulah stigma masyarakat yang ada.  "kenapa tidak bekerja gomen?"  Itulah ayat yang selalu keluar, "sayanglah ijazah yang ada".  Nak buek camno?  Kadang-kadang tidak boleh juga nak dipersalahkan sesiapa.  Itulah sudah nasib...
Kembali kepada tajuk lambakan guru Sains dan Matematik diatas..mengapa jadi begitu?  Sebenarnya sistem pendidikan negara memang banyak perubahan.  Perubahan dasar juga tak boleh nak dikira dengan jari.  Apabila tahun ini ada kekurangan guru Sejarah, maka diperbanyakkan kuota untuk guru Sejarah..apabila tamat mengaji, terlalu ramai guru Sejarah dan kurang pula guru Matematik dan Sains.  Lalu diperbanyakkan pula guru untuk bidang sains dan matematik di IPTA.  Apabila guru-guru ini keluar, sudah berlaku lambakan pula...Maaf saya cakap...inilah yang selalu terjadi.
Sepatutnya didalam kementerian itu perlu ada target berapa orang guru sains  dan matematik yang perlu untuk 5 tahun akan datang..berapa orang guru sains sosial untuk 5 tahun akan datang.  Lihat pada statistik pengambilan pelajar dalam satu-satu bidang...sejajarkah dengan pasaran akan datang.  Bukanlah terus diperbanyakkan guru dalam bidang sains dan matematik hingga jumlahnya tidak terkawal...dan dalam bidang lain pula akan berlaku kekurangan. 
Itu adalah pandangan saya dan maaf jika ia agak keterlaluan.  Setiap data sudah ada di pihak masing-masing.  Bidang yang kurang dan lebih perlu diseimbangkan agar tidak berlaku lambakan atau kekurangan untuk tahun-tahun akan datang. 
Semoga juga bidang-bidang yang lain akan berlaku perubahan selepas ini.  Bidang pendidikan adalah penting dalam menentukan hala tuju negara kerana ia berkait rapat dengan pembangunan sumber manusia iaitu modal insan.  Ini adalah pandangan peribadi saya yang ikhlas demi sistem pendidikan negara yang baik.  Sudah semestinya dalam kementerian sendiri  ramai cerdik pandai yang lebih arif dalam bidang ini.

February 1, 2012

Menjelang 12 Rabiulawal...1

Sambungan entri sebelumnya.....
Nabi Muhammad dilahirkan di Mekah pada 12 Rabiulawal Tahun Gajah pada hari Isnin...Baginda pula meninggal pada hari yang sama tarikh yang sama tetapi di Madinah...Baginda merupakan pelengkap Islam dan diberikan gelaran Al-Amin yang bermaksud terpuji.
Baginda melalui banyak dugaan dalam hidup tetapi hati Baginda tidak dapat diteroka oleh Syaitan kerana telah dibasuh oleh Jibril pada peristiwa Israk dan Mikraj.  Baginda menyatukan puak yang berbalah dan menyelesaikan banyak masalah pada zamannya..Terlalu banyak yang Allah berikan dan Al-Quran juga diturunkan kepada Baginda iaitu wahyu dengan Surah pertama ketika Baginda bersendiri di Gua Hira' iaitu Surah Al-Alaq (19 ayat)..Proses ini berterusan selama 23 tahun sehingga mushaf ini dinamakan Al-Quran.  Inilah yang menjadi panduan hidup manusia dengan Al-Quran dan Sunnah...
Dalam zaman Baginda juga terjadinya peristiwa Hijrah iaitu perpindahan dari Mekah ke Madinah kerana kekhuatiran terhadap keselamatan orang Islam oleh orang kafir Mekah...Berlaku juga banyak peperangan demi mempertahankan agama dan umat Islam. 
Memang tidak dapat disangsikan betapa Rasulullah SAW adalah manusia terpuji dan contoh untuk segenap lapisan umat.  Dan betapa Baginda teramat menyayangi umatnya.  Baginda sempat menyampaikan khutbah terakhir sebelum Baginda wafat pada haji terakhir pada 9 Zulhijjah tahun 10 Hijrah di Lembah Uranah, Bukit Arafah.  Antara kandungan khutbah Baginda:

"Wahai manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak kukatakan, Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu, dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir disini pada hari ini.
"Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini dan kota ini sebagai suci, anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai amanah suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak. Janganlah kamu sakiti sesiapapun agar orang lain tidak menyakiti kamu lagi. Ingatlah bahawa sesungguhya kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti membuat perhitungan di atas segala amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba, oleh itu, segala urusan yang melibatkan riba dibatalkan mulai sekarang.
"Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutinya dalam perkara-perkara kecil.
"Wahai manusia sebagaimana kamu mempunyai hak atas isteri kamu, mereka juga mempunyai hak ke atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu, maka mereka juga berhak diberikan makan dan pakaian, dalam suasana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah-lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.
"Wahai manusia, dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini, sembahlah Allah, dirikanlah solat lima waktu, berpuasalah di bulan Ramadhan, dan tunaikanlah zakat dari harta kekayaan kamu. Kerjakanlah ibadah haji sekiranya kamu mampu. Ketahuilah bahawa setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama; tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam Taqwa dan beramal soleh.
"Ingatlah, bahawa kamu akan menghadap Allah pada suatu hari untuk dipertanggungjawabkan diatas segala apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu, awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku.
"Wahai manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Qur'an dan Sunnahku.
"Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dariku. Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya telah aku sampaikan risalah-Mu kepada hamba-hamba-Mu."
 
Begitulah sayu bunyi pesanan terakhir Baginda yang mengandungi banyak perkara untuk difahami dengan jelas.  Sesungguhnya Bagindalah Nabi dan Rasul terakhir....Semoga kita semua berada dilandasan yang betul dan berpegang teguh kepada Islam hingga akhirnya kerana musuh Islam berada dimana-mana sahaja dan akan berusaha untuk memesongkan umat Islam hingga kiamat.   Semoga dengan kedatangan Maulidur Rasul kali ini akan memberikan keinsafan dan pedoman kepada kita semua umat Islam.....Selawat dan Salam keatas Rasullullah SAW.....