Realiti kehidupan amat pahit untuk ditelan sedangkan khayalan lebih indah untuk di ingati…

Hanya Allah tempat mengadu kerana Allah Maha Berkuasa…


Nuffnang X

December 23, 2012

Gila Ping

Assalammualaikum dan Salam 1 Malaysia.
Hari ini saya menjumpai satu lagi cara untuk meningkatkan trafik ke blog kita.  Gila Ping.  Jadi untuk maklumat lebih lanjut silalah berkunjung ke Gila Ping dan selamat mencuba.

November 1, 2012

Kenapa Piya tiada dalam senarai Pemain Kebangsaan untuk Piala AFF?

Assalammualaikum dan Salam 1 Malaysia.
Nampaknya entri kali ini macam sambungan entri kelmarin.  Yelah, sekarang pasukan kebangsaan sedang giat berlatih untuk Perlawanan Piala AFF pula..samalah jugak mampukah kita kekalkannya?  Dalam rancangan Formasi Astro Arena 801 juga ada tetamu yang meletakkan pemain bayangan..macam kabinet bayangan....pemain pun ada pemain bayangan...kedua-dua panel meletakkan Mohd Badri Radzi (Piya) sebagai pemain.  Tetapi dalam senarai pemain, K Rajagopal rasanya tidak menyenaraikan nama Piya dalam pasukan itu. 
Adakah kerana politik juga sukan bolasepak terpaksa mengenepikan ramai pemain yang berwibawa dari Kelantan untuk menyarung jersi kebangsaan?  Maaflah bukan niat untuk menimbulkan isu tetapi realiti dan janganlah saya dihukum pula kerana ini adalah pandangan peribadi untuk membina bukan untuk menghancurkan.  Pandangan saya sebagai salah seorang dari 28 juta rakyat Malaysia.  Adakah kerana politik juga pemain terpaksa menerima tempiasnya kerana mereka bermain untuk NEGARA MALAYSIA dan  bukannya NEGARA  KELANTAN.
Bagi saya ramai lagi pemain yang layak yang tidak disenaraikan atau disenaraikan tetapi telah digugurkan.  Mungkin ramai dari Kelantan.  Dalam hal ini, ketepikan politik dan berfikirlah secara  terbuka untuk negara bukan semata-mata untuk diri sendiri. 
Gandingan Shakir Shaari dan Piya serta beberapa lagi pemain lain mampu untuk bermain hingga peringkat akhir seterusnya menjulang Piala AFF sekali lagi.  Maaflah saya terpaksa menulis entri sebegini tetapi tidak mahu ianya memberi impak kepada fokus mempertahankan piala itu sekali lagi.  Ini adalah pandangan saya.  Betul saya adalah perempuan tetapi seandainya idea membina kenapa mesti saya diamkan. 
Semoga sukan bolasepak terus bersinar dan mampu menghadapi pelbagai rintangan yang mendatang.  Maaf sekali lagi...ada masanya kita perlu berfikir untuk sebuah negara bukannya untuk diri sendiri..Maaf...

October 31, 2012

Isu Perpindahan Pemain Bola

Assalammualaikum dan Salam 1 Malaysia.
Nampaknya isu perpindahan pemain semakin hangat sekarang.  Mereka ditawarkan nilai yang tinggi untuk berhijrah.  Nampaknya ramai juga pemain Kelantan yang dipancing, ramai juga yang akan meninggalkan The Red Warriors.  Adakah ini akan menggugat TRW dan adakah mampu Kejuaraan Treble dipertahankan untuk tahun depan?  Sukar untuk ditafsirkan ataupun untuk dibuat telahan. 
Diakui Kelantan atau KAFA adalah antara persatuan yang paling kaya atau banyak duit tetapi untuk tahun-tahun sebelum ini tiada pula mereka membeli pemain "hot" dari negeri lain.  Tetapi apabila Kelantan berjaya membuat treble pada tahun ini, ramai pemain mereka "diintai" dan "dipinang" denga jumlah yang agak lumayan.  Dari satu sudut, ini menunjukkan betapa sukan bolasepak telah diangkat martabat dan nilainya.  Mana tidaknya, sokongan peminat dan mutu permainan yang ditunjukkan telah meningkat dan melonjakkan sukan bola sepak sebagai salah satu cabang sukan yang popular dan bermutu.  Dari satu sudut lain, nampak gayanya sukan bola sepak telah didominasi dan diwarnai dengan ganjaran lumayan atau RM dan dikhuatiri akan memberi kesan buruk kepada pemain seandainya tiada wang tiada permainan atau bermain sambil lewa saja.
KAFA akan kekurangan pemain hot dan popular yang telah disambar oleh persatuan bolasepak negeri lain.  Tetapi mungkin ini adalah cabaran kepada KAFA dan mungkin juga pengiktirafan kerana KAFA berjaya melahirkan ramai pemain yang bermutu dan handal.  Rasanya KAFA ada strategi sendiri kerana KAFA mempunyai barisan pelapis yang boleh diketengahkan.  Harus diakui pemain sekarang juga akan sampai masanya pasti akan berundur kerana faktor usia dan KAFA terpaksa juga mencari pemain muda. 
Syabas KAFA kerana berjaya melahirkan ramai bintang bolasepak negara.  Anggaplah perpindahan pemain ini satu cabaran untuk lebih berjaya. 
Sebenarnya saya sedih juga kerana takut akan menjadi seperti pasukan negeri saya iaitu Hoben Jang Hoben yang menurun prestasinya sekarang ini akibat 6 orang pemainnya telah berhijrah ke ATM dan tahun depan dengan jurulatih sekali berundur ke negeri lain.   Bukan itu saja,  ada lagi pemain akan berhijrah ke negeri lain atau pasukan lain...sedih sekali...Tunggu dan lihatlah sahaja.  Semoga mutu permainan bolasepak tidak direncatkan dengan RM yang membuatkan masing-masing berada di zon selesa.  Jangan marah ini pandangan peribadi saya....

October 23, 2012

Bunga Segar yang Comel...

Assalammualaikum dan Salam 1 Malaysia.
Hari ini entri saya akan berkisar tentang bunga.   Bunga ni Hubby bawak balik semasa dia memantau di sekitar Lojing dan Cameron Highland.  Dah memang saya hantu bunga tapi tak adalah selalu sangat dia akan bawa balik.  Hilang tekanan apabila melihat kuntum-kuntum bunga ini.  Bagi saya bunga juga adalah salah satu alat untuk terapi minda. Betul tak?  Dalam hati tu dah ada cita-cita nak tanam bunga ni.  Tapi tak tahulah bila.  Nanti kalu beli, tanam, takut mati sebab tak sempat nak jaga.  Tapi bila belek bunga tu..isyy tak boleh jadi, akan ku tanam satu hari nanti.  Tapi tak tahulah bila.  Silalah layan gambar bunga comel itu.  Tapi kan dalam hati ada juga timbul pertanyaan, bila lah pulak Hubby nak bawak balik bunga ros..hu..hu...Memang Hubby tahu saya hantu bunga ros so, kemungkinan besar yang itulah paling lambat dia akan beli untuk bawa balik...saja je nak menyakat.  hu..hu...Tapi apapun terima kasih banyaklah sebab sudi juga sekali dua bawa balik bunga segar ni.  he..he...
letak dalam balang aje...yang penting bunganya.he..he..




October 22, 2012

Putu Halba-makanan popular musim tengkujuh di Kelate

Assalammualaikum dan Salam 1 Malaysia.
Sekarang musim hujan dah menjelma...Bak  kata oghe kelate-"Puye Boh".  Waktu-maktu macam ni akan keluarlah deretan gerai kecil yang menjual segala jenis ubi dan keladi.  Kalau di Machang di sekitar 3 km menghala Jambatan Tanah Merah.  Di sana memang sokmo-sokmo ada menjual pelbagai jenis ubi di musim hujan.  Ye lah, apa lagi yang sedap dimakan di musim hujan?  Rebus ubi cicah kelapa atau sambal...mak datuk....suap  suap suap dan tak sedar sendawa kekenyangan.  Minum pula kopi o panas....huh..tak usah nak di kata apa-apa lagi.  
kredit to Kosmo..izinkan saya share
Itulah rupa Putu Halba.  Kalau di Machang ada di jual di Kemuning paling popular  sebab dia bukan jual hanya di waktu musim hujan tapi ada sokmo.  Maknanya oghe mengidam tak ada hal lah nak makan makanan ini.  Seandainya ada yang melawat Kelantan waktu musim hujan ni, dipersilakanlah mencuba makanan ini.  Di jual 3 keping seriya (RM1-3 keping).  Ia diperbuat dari ubi kayu, dicampur halba dan nise-gula merah atau gula melaka.  Lepas tu silalah nilai sendiri...

October 18, 2012

Debaran menjelang Final Piala Malaysia 2012

Assalammualaikum dan Salam 1 Malaysia.
Tinggal 2 hari aje lagi Final Piala Malaysia 2012 pada 20 Okt. 2012 (Sabtu).  Tapi biasalah hari Jumaat dan Sabtu saya jarang online,  oleh sebab itu saya menulis entri ini.  Pada Minggu lepas Kelantan VS Selangor berlangsung pada hari Jumaat pun sunyi sepi dah negeri Kelantan.  Inikan pula pada hari Sabtu dan Ahadnya 21 Okt.2012 adalah cuti bagi rakyat Kelantan, lagilah ramai yang pergi...Berduyun-duyun dan pelbagai aksi boleh dilihat dari Kelantan lagi.  Jika saya ada kesempatan untk snap gambar pada hari esok, saya akan kongsikan bersama.  Gelak sorang-sorang tengok aksi para penyokong.  Apa-apapun kita menonton perlawanan itu dengan rasa seronok dan "enjoy".  Semoga penyokong dan pemain menjaga disiplin diri.  Terima aje dengan terbuka apa pun keputusannya.  Memanglah sedih jika kalah tetapi itu bukanlah akhirnya.  Gomo Kelate Gomo tapi bukan Gomo Oghe Deh....ingat tu adik abe....Selamat berjuang kepada Pasukan The Red Warriors dan sesiapa yang akan menyaksikan perlawanan di Stadium Shah Alam, pandu berhati-hati...dahlah sekarang hujan mula menjengah..Pandu dengan lebih berhati-hati.  Berdebar eh rasa....

October 17, 2012

Buah Kecupu

Assalammualaiku dan Salam 1 Malaysia.
Entri kali ini berkisar pada buah yang mungkin ramai jarang tengok atau tak pernah tengok.  Kalu duduk kat kampung mungkin tahu tapi saya yang duduk kat kampung pun tak berapa kenal buah ni.  Apabila menetap di Kelantan baru kenal buah ni itupun setelah beranak pinak..hu..hu...
Buah Kecupu yang mempunyai rasa masam-masam manis dan bergetah kuat tapi tidaklah sekuat getah nangka.  Ada yang membuat sambal atau pun ada yang memasukkan dalam gulai.  Kira lebih kurang buah pauh/mempelam/manggalah jugak ni.  Pokoknya tak adalah tinggi sangat dan tumbuh di kawasan semak atau kebun getah.  Buah dia pun taklah besar sangat,  besar sikit dari buah kundang.  Lain kali saya snap gambar pokoknya.  Dipersilakanlah layan gambar Buah Kecupu ini yang enak dimakan begitu sajaa....







October 9, 2012

Tebu Telur di Jelebu

Assalammualaikum dan Salam 1 Malaysia.
Kelmarin dalam ruangan Mega Utusan Malaysia ada menyiarkan mengenai Tebu Telur dari Jelebu.
Ehsan Utusan Malaysia

Ehsan Utusan Malaysia




Sememangnya Mukim Teriang Hilir mempunyai ramai petani yang mengusahakan Tebu Telur yang kebanyakannya untuk kegunaan bandar sekitar dan dieksport ke Singapura.  Tebu jenis ini mempunyai air yang banyak dan manis.  Mungkin disebabkan kedudukannya dalam  tempat paling panas di Malaysia yang menyebabkan ianya sesuai di tanam di Mukim ini.
Keluarga saya juga mengusahakan Tebu Telur.  Jika di bulan Ramadhan atau ada kenduri, air tebu adalah salah satu air yang wajib ada dan selalunya akan habis dahulu. 
Teringat zaman sekolah yang mana jika saya ada kelapangan akan pergi ke belakang rumah (maklumlah rumah dalam kebun) untuk mematahkan tebu dan di makan.  Kadangkala tanpa pisau hanya dikoyak kulit menggunakan gigi dan airnya yang manis sudah boleh dinikmati.  Dari zaman abah hinggalah sekarang adik-beradik pula mengusahakannya.  Pernah satu ketika diwaktu umur 8 tahun, pemborong menyampaikan pesan kepada saya kerana dia kenal saya dan yang diminta sedikit tetapi saya sampaikan terlebih jumlah tebu yang ingin dibeli dan dia terpaksa membeli juga kerana tebu sudah diikat dan disediakan.hu..hu....
Jika berbakti kepada tanah, memang tidak akan rugi.  Pertanian itu satu perniagaan.  Jika diusahakan secara sabar dan berterusan, Insyaallah akan mendapat hasil yang lumayan.  Tetapi yang penting kesabaran dan kecekalan, bukan untuk sehari dua. 
Semoga Daerah Jelebu amnya dan Mukim Teriang Hilir khususnya terus dikenali sebagai tempat pengeluar Tebu Telur Malaysia.

October 8, 2012

Doa Taubat Nabi Adam

Assalammualaikum dan Salam 1 Malaysia.
Pada minggu lepas, saya menonton Tanyalah Ustaz TV9 dengan tajuk Pintu Taubat.  Antara yang menarik untuk saya kongsikan ialah Doa Taubat Nabi Adam.  Sebenarnya dalam Al-Quran, banyak ayat-ayat yang boleh kita jadikan doa seharian.  Doa tersebut adalah dalam Surah Al-A'raf ayat 23.




ﭑ ﭒ ﭓ ﭔ ﭕ ﭖ ﭗ ﭘ ﭙ ﭚ ﭛ ﭜ ﭝ


Mereka berdua merayu: Wahai Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami, kalau Engkau tidak mengampunkan kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya menjadilah kami dari orang-orang yang rugi. 7023 (Surah Al-A’raf:23)

Oleh itu, tidak rugi kita mengamalkan doa ini.  Ayatnya cukup pendek dan mudah.  Selamat mengamalkannya.

October 7, 2012

Kelantan VS Selangor Separuh Akhir Piala Malaysia 2012

Assalammualaikum dan Salam 1 Malaysia.
Malam tadi telah berlangsungnya perlawanan Separuh Akhir Pertama Piala Malaysia Kelantan VS Selangor di Stadium Sultan Muhammad IV di  Kota Bharu.  Akhirnya pada masa kedua Norfarhan berjaya menyumbat gol bekalan untuk pusingan kedua di Shah Alam nanti.  Saya sekeluarga masih dalam perjalanan balik ke rumah sewaktu siaran itu berlangsung.  Akhirnya pada masa kedua kami singgah di kedai makan dan menikmati makan malam sambil menonton perlawanan itu.  Kira tidak rugilah kerana gol disumbatkan pada waktu kami menonton walaupun terlepas masa pertama.  Kira adillah order makanan sambil menonton TV tuan kedai..he..he...Bukan kami saja yang berhenti tetapi ramai lagi yang berhenti untuk menyaksikan perlawanan itu.  Apabila gol disumbat, rasa macam suasana stadium seketika....huh..semangat.....Aksi permainan juga laju dan sangat mengagumkan tidak seperti perlawanan suku akhir kedua yang lalu....Biarlah benda dah lepas, yang penting perlawanan kedua nanti...Semoga pasukan Kelantan bermain seperti malam tadi, hebat dan bertenaga..Sedih jugaklah tahun ni NS hanya sampai di peringkat suku akhir saja..Dah takdo rejeki nak buek camno...Berdebar juga menanti pusingan separuh akhir kedua....Gomo Kelate Gomo....

September 23, 2012

Cuka Kurma

Assalammualaikum dan salam sejahtera.
Entri saya kali ini mengenai Cuka Kurma.  Oleh kerana kelmarin, suami saya membeli Cuka Kurma, jadi saya ingin pun ingin mengetahui lebih mendalam mengenai khasiat Cuka Kurma ini. 
Apabila saya search Google mengenai Cuka Kurma, saya terjumpa blog ini moslem4peace.blogspot.com.  Memang banyak khasiat dari Cuka Kurma ini yang mana mungkin ramai dari kita tak tahu.  Suami saya membeli dengan harga bawah RM20 di Syarikat Jaafar Rawas Kota Bharu. 
Jadi, kepada sesiapa yang mahu mencuba silalah membelinya demi kesihatan yang baik.  Cuka Kurma juga adalah amalan pemakanan Rasullullah S.A.W.  Selamat mencuba.

September 18, 2012

Apabila loceng berbunyi...

Assalammualaikum dan Salam 1 Malaysia...
Entri kali ini berkisar pengamatan saya mengambil anak-anak balik sekolah.  Sudah lama saya perhatikan dan apabila mengambil anak tengahari tadi, saya mengatakan pada diri saya, saya mesti membuat entri ini. 
Berapa ramai dari kita yang mengambil sendiri anak balik dari sekolah?  Mungkin waktu menghantar suasana pagi agak berbeza daripada suasana tengahari yang terik dan adakalanya hujan lebat.  Sudah menjadi kebiasaan saya akan bertolak lebih awal dan dalam 10 minit untuk waktu anak habis sesi pembelajaran, saya sudah sedia menunggu mereka.  Apabila dilihat wajah ibu bapa yang mengambil anak-anak balik dari sekolah, ada pelbagai gelagat dan aksi.  Ada yang mengambil dengan kereta, ada dengan motosikal dan tidak kurang juga yang berjalan kaki atau dengan basikal.  Apabila anak-anak nampak wajah ibu bapa mereka begitu gembira wajah si anak dan begitu menggunung tinggi harapan yang terpancar di wajah ibu bapa.  Sayu melihat keringat mengalir di dahi.  Agaknya dalam hati inilah anak-anak yang akan berjaya, menjadi orang berguna dan sedikit sebanyak boleh membantu dan berbakti kepada ibu bapa. 
Memang begitulah harapan setiap ibu bapa untuk anak-anak mereka sama seperti ibu bapa kita dahulu yang memberi pengharapan yang sama untuk kita.  Tetapi melihat kepada keadaan sosial sekarang, adakah keringat yang mengalir dari dahi bapa akan dikenang?  Jika si anak tadi mengenang dan melihat keringat yang mengalir itu sudah pasti anak-anak akan berfikir dua kali untuk melakukan masalah. 
Saya renung kembali diri saya, anak-anak sekarang banyak kemudahan.  Dulu berjalan kaki 3 atau 4 kilometer itu perkara biasa.  Tetapi sekarang menjadi luar biasa.  Dulu, saya sampai dirumah pada pukul 7.15 petang apabila di tingkatan satu.  Berbasikal sejauh 3 kilometer dari sekolah menengah perkara biasa dan lalu semak samun itu pun perkara biasa.  Tetapi sekarang hati cuak jika membiarkan anak-anak balik gelap.  Kadangkala di waktu siang pun timbul perasaan risau dengan kes kehilangan kanak-kanak kecil, rompakan dan rogol.  Sama sahaja untuk anak-anak lelaki atau perempuan.  Begitu bebasnya nilai di waktu dahulu berbanding sekarang. 
Seandainya ada anak dan selalu mengambil anak, cuba lihat situasi apabila loceng sekolah berbunyi.  Lihatlah betapa besarnya harapan ibu bapa yang mengambil anak-anak mereka.  Lihatlah dengan pandangan hati jika ada yang hanya berjalan kaki.  Lihatlah keringat yang mengalir di dahi.  Pasti kita akan tersentuh dan untuk anak-anak, lihatlah wajah yang bekerja mengerah keringat demi untuk melihat kita berjaya....Hargailah mereka...jangan hampakan harapan mereka dan jadilah insan yang berguna....

September 12, 2012

Apabila 3 series.(Three Series)

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera..
Ehsan Google
Pelik tapi benar tajuk entri kali ini.  Sebelum melelapkan mata malam tadi, idea ini datang.  Mungkin ada yang memikirkan pasal BMW 3 series....Fuuyooo.....memanglah ramai yang mimpi dan puja...Tetapi 3 series yang akan saya tulis mengenai wanita yang menginjak 3 series...bermakna apabila umur sudah menjangkau 30-an...
Kebanyakkan wanita pada usia ini nampak lebih matang, stabil dan bertanggungjawab mana tidaknya kebanyakkan sudah berumahtangga, bercahaya mata dan mempunyai karier yang stabil.  Jika menjadi surirumah sepenuh masa pun mempunyai karisma tersendiri. 
Apabila sudah memasuki 30-an, bentuk badan ada yang berubah sedikit dan ada yang banyakkk...tetapi yang mungkin paling ramai wanita tidak berapa suka ialah muka sudah ada kedutan sikit, uban sudah mula mencelah seurat dua, mata ada yang agak kabur, ada yang masih ok.  Bila ambik gambar pun nampak dah muka lain dari  2 series.  Ada yang takut untuk diambil gambar...semua ada..
Dalam hal penjagaan wajah dan badan, Olay, Sendayu Tinggi, Jamu Mak Dara, Mustika Ratu dan bermacam lagi alatan serta produk kecantikan dicari.  Mana boleh tidak diambil endah, untuk suami yang utama takut menukar haluan lain.  Sensitif tu...Walau apa pun yang penting tidak menyimpang dari Islam tidak menjadi masalah.  Maklumlah suami  ni kadangkala dia nak isteri vogue, maintain, bergaya untuk dia tetapi bagi pihak suami pula lain ceritanya.  Kalau dulu maintain straight bentuk badan dah bertukar maju ke depan(perut).  jika isteri maju ke depan cukup 9 bulan 10 hari kempis balik, lelaki pula tidak kempis-kempis.  Apabila ada gurauan bertanya bila due?  dengan selamba menjawab bulan 13......biasalah jangan ada yang marah kat saya..realiti ni.   Oleh itu, sama-samalah jaga bukan apa kang kalau isteri lebih vogue, bergaya kang tercabar pula jika ada yang menjeling kat isteri....
Ini adalah realiti wanita 3 series.  Majalah pun ada majalah untuk 3 series dan 4 series iaitu Majalah MIDI.  Middle Age bak kata orang putih.  Umur pertengahan atau suku abad....Saya juga adalah golongan 3 series yang tidak lama lagi akan memasuki 4 series.  Banyak lagi yang kurang.  Untuk suami dan anak-anak juga banyak yang masih tidak menepati sasaran.  Banyak juga lagi yang masih belum dicapai.  Mengenai wajah saya no komen kerana saya memang kurang bersolek dan lebih suka simple dan natural.  Bagi saya yang asli itu lebih baik.  Saya lebih suka bersederhana dalam semua aspek.  Takut ke dengan 3 series?  Biarlah apapun kita tidak boleh melangkah ke belakang.  Kenyataan tetap kenyataan.  Alhamdullillah kerana Allah mengizinkan menginjak 3 series....

August 28, 2012

Google kasi bersih...

Assalammualaikum dan Salam 1 Malaysia...
Nampaknya kebanyakkan kita sudah kembali normal dengan rutin harian.  Almaklumlah selepas 10 hari beraya..Apabila dah kembali macam biasa, bukak blog..erm alahai..Google kasi bersih blog..kalu dulu link alexa ada 19 laa ni dah tinggal lapan.  Page Rank dari 2 turun taraf jadi 1..Takpalah syukur tidak menjadi telur-0 atau no data...
Memang diakui semua kerana ketidakaktifan beberapa tahun ini ..Yelah biasa kerana menulis untuk suka-suka.  Ada orang baca pun dah memadai.  Jadi apabila ada termasuk dalam rank Alexa pun dah ok.  Cuma nak jaga Page Rank jangan jadi kosong..kosong....ehh lagu Najwa Latif plak...
Ada terbaca Google sedang intai-intai blog yang berpotensi untuk diletakkan Google Adsense Bahasa Melayu...Tahniah kepada yang dah berjaya...Psst..dulu masa mula-mula menulis blog adalah mintak dengan Adsense nak letak iklan..mana dilayan dan kena tolak sebab kena ada blog BI baru dia tengok potensinya..hu..hu...
Oklah, selamat menjalani kerja harian macam biasa...Apa?  Berat badan naik?  Takpa biasalah raya dan sebulan ni memang akan ada perubahan sebab rumah terbuka tak habis lagi....Kalu nak diet, tunggulah Syawal abis dulu...Wassalam...

August 1, 2012

Ruang dan Peluang

Ijazah Palsu

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera.
Beberapa minggu lepas kita dikejutkan dengan penangkapan beberapa orang yang dipercayai memalsukan Ijazah dari Universiti Sains Malaysia (USM)-universiti saya tuh.....Beberapa tangkapan telah dibuat.  Minggu lepas juga media massa dan elektronik membongkar program ijazah palsu yang tidak pernah wujud.  Apakah reaksi anda? 
Sudah pastinya saya terkedu dengan kisah pertama yang mana pemalsuan itu di dalangi juga oleh pelajar atau bekas pelajar USM sendiri.  Kisah kedua juga membuatkan saya terkedu kerana ada juga menyimpan niat untuk menyambung pengajian secara jarak jauh.
Begitu senang manusia ingin membuat jalan pintas sehingga ijazah yang bagi saya terlalu besar nilainya dipalsukan.  Inilah sikap segelintir manusia yang tidak tahu menghargai dan tidak memikirkan nasib insan lain apabila wang sudah meraja di hati dan minda.
Saya masih ingat betapa susahnya untuk melangkah ke menara gading dulu.  Dulu IPTS tidak banyak seperti sekarang dan perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk memasukinya.  Apabila mendapat tawaran begitu bangga kerana berjaya masuk itu baru bab dipilih melanjutkan pengajian.  Apabila mendaftar berkejar-kejar mencari slot kuliah dan tutorial.  Sakit kepala dengan tugasan atau tesis yang mana memerlukan muka surat yang beratus-ratus.  Tiap-tiap minggu ada tugasan mingguan dan bermacam lagi.  Bersengkang mata tidak tidur  menyiapkan tugasan dan projek yang menghampiri bom jangka (due date) dan bermacam lagi.  Masih ingat pada tahun pertama menjelang minggu terakhir untuk cuti Hari Raya Puasa, berkejar ke kelas pensyarah India.  Dalam penat mendaki bukit, sampai saja di dewan kuliah tertampal "Kelas Dibatalkan-Selamat Hari Raya Puasa"-rupa-rupanya Pensyarah India tu dah balik dulu tanpa memaklumkan kelas dibatalkan...waaaa kalau tahu dah balik kampung lama dah..Waktu aktiviti luar pula berkejar mencari unit desa iaitu unit untuk mendapatkan hostel.  Jika tidak duduk luar iaitu menyewa beramai-ramai.  .Itulah antara kenangan sewaktu mengaji di USM.
Apabila di tahun 2, kami dipanggil pelajar SPU-Sistem Pengajian Universiti yang mana masa pengajian 4 tahun dan SPTT-Sistem Pengajian Tiga Tahun diperkenalkan.  Waktu itu tidak dapat nak dibayangkan bagaimana berebut memilih kelas almaklumlah pelajar bertambah dan SPTT akan habis sekali dengan kami.  Berlaku lambakan graduan dan ekonomi dunia menghadapi krisis 1998-1999.  Ada antara mereka sehingga sekarang masih mencari pekerjaan.  Yang mana pelajar perempuan ada yang memilih menjadi suri rumah sepenuh masa. 
Itulah antara senario pelajar yang bertungkus lumus untuk menggenggam segulung ijazah.  Pahit, manis, masam, kelat semua ada.  Semua dirasa.  Dan apabila adanya Ijazah Palsu-mereka tidak perlu pergi kuliah, tutorial, tidak perlu membuat kerja kursus, hanya dengan bayaran, mereka mendapat ijazah kemudian dengan bangga mengusung ijazah mereka dan mendapat pekerjaan.  Adilkah bagi kami yang benar-benar graduan universiti?  Sudah pasti tidak adil. 
Sudah pasti perkara ini perlu dibanteras kerana membabitkan nilai ijazah yang ada.  Betapa senang mencipta peluang dan wang walaupun ianya sesuatu yang salah.  Sudah pasti saya tidak tergamak ijazah dipalsukan.  Fikirlah dengan mata hati....
p/s-lepas ni agaknya apa lah pulak yang nak dipalsukan-sungguh tidak rela.....

July 25, 2012

Ya Allah, Selamatkan Umat Islam Myanmar.

Tiada perkataan, kelu dan sayu melihat mayat bergelimpangan dalam air yang mana kebanyakkannya kanak-kanak.  Ya Allah di bulan Ramadhan ini begitu kuat ujian ke atas mereka.. Kanak-kanak yang masih tidak mengenal erti perjuangan telah gugur...Apakah yang akan bermain di fikiran kita jika melihat keadaan mereka.  Sedangkan anak kita jatuh bermain, kita akan bimbang inikan pula yang terpaksa meninggalkan kampung halaman demi sebuah kehidupan yang berlawan dengan ombak ada tikanya perlahan dan ada tika akan mengganas.  Kesejukan di dalam air tanpa pertolongan...Tidak dapat digambarkan.  Semoga jalan penyelesaian segera dicapai kerana akan ramai nyawa yang tidak berdosa yang akan menjadi korban.  Bersamalah kita berdoa..

July 23, 2012

Ku Yakin Berlaku-Aidil Ft Hafiz Hamidun (audio & Lirik)

Ku Yakin Berlaku-Aidil

Yang ku panggil kasih
Ku kenang selalu
Riuh atau sepi
Rinduku padamu

Dalam kesibukan
Dalam kelapangan
Tiada ku lekang
Ingatan yang suci

Tertumpu mendambakan
Disatukan denganmu

Di hari yang indah
Ku yakin berlaku
Kita bertemu di jambatan kasih
Setelah dipisah lama

Di hari yang indah
Tiada sedetik
Akan terlewat mahupun tercepat
Kutatap wajahmu duhai kekasihku

Garisan pemula
Jauh kutinggalkan
Semangat ku sama
Mencapai impian

Kau ku panggil kasih
Dulu dan selamanya
Tidakkan berubah
Perasaan ini

Kekuatan

Tanaman Hiasan 2


Sila abaikan kain yg diampai...guna secara efektif..he..he...ampaian pun jadi tempat gantung bunga....

Ada antara pokok yang masih dalam pemulihan....

Pokok Petunia Purple..Desert Petunia Pink masih tak keluar kembang

Desert Petunia Purple

Money Plant yang digantung

Pokok Bakawali

Apa nama dia ni..panggil Pokok Buluh ajelah...

Pokok Bunga Misai Kucing




Ni pun tak tahu namanya..Panggil Poko Merah jelah...

Nenas Merah...

Tak ingat nama dia...hu..hu

Ini pun tak tahu nama dia...

Lagi satu pokok yang tahu tanam tapi tak tahu nama

Ros Jepun....Tak keluar bunga lagi..