Assalammualaikum dan Salam 1 Malaysia...
Entri kali ini berkisar pengamatan saya mengambil anak-anak balik sekolah. Sudah lama saya perhatikan dan apabila mengambil anak tengahari tadi, saya mengatakan pada diri saya, saya mesti membuat entri ini.
Berapa ramai dari kita yang mengambil sendiri anak balik dari sekolah? Mungkin waktu menghantar suasana pagi agak berbeza daripada suasana tengahari yang terik dan adakalanya hujan lebat. Sudah menjadi kebiasaan saya akan bertolak lebih awal dan dalam 10 minit untuk waktu anak habis sesi pembelajaran, saya sudah sedia menunggu mereka. Apabila dilihat wajah ibu bapa yang mengambil anak-anak balik dari sekolah, ada pelbagai gelagat dan aksi. Ada yang mengambil dengan kereta, ada dengan motosikal dan tidak kurang juga yang berjalan kaki atau dengan basikal. Apabila anak-anak nampak wajah ibu bapa mereka begitu gembira wajah si anak dan begitu menggunung tinggi harapan yang terpancar di wajah ibu bapa. Sayu melihat keringat mengalir di dahi. Agaknya dalam hati inilah anak-anak yang akan berjaya, menjadi orang berguna dan sedikit sebanyak boleh membantu dan berbakti kepada ibu bapa.
Memang begitulah harapan setiap ibu bapa untuk anak-anak mereka sama seperti ibu bapa kita dahulu yang memberi pengharapan yang sama untuk kita. Tetapi melihat kepada keadaan sosial sekarang, adakah keringat yang mengalir dari dahi bapa akan dikenang? Jika si anak tadi mengenang dan melihat keringat yang mengalir itu sudah pasti anak-anak akan berfikir dua kali untuk melakukan masalah.
Saya renung kembali diri saya, anak-anak sekarang banyak kemudahan. Dulu berjalan kaki 3 atau 4 kilometer itu perkara biasa. Tetapi sekarang menjadi luar biasa. Dulu, saya sampai dirumah pada pukul 7.15 petang apabila di tingkatan satu. Berbasikal sejauh 3 kilometer dari sekolah menengah perkara biasa dan lalu semak samun itu pun perkara biasa. Tetapi sekarang hati cuak jika membiarkan anak-anak balik gelap. Kadangkala di waktu siang pun timbul perasaan risau dengan kes kehilangan kanak-kanak kecil, rompakan dan rogol. Sama sahaja untuk anak-anak lelaki atau perempuan. Begitu bebasnya nilai di waktu dahulu berbanding sekarang.
Seandainya ada anak dan selalu mengambil anak, cuba lihat situasi apabila loceng sekolah berbunyi. Lihatlah betapa besarnya harapan ibu bapa yang mengambil anak-anak mereka. Lihatlah dengan pandangan hati jika ada yang hanya berjalan kaki. Lihatlah keringat yang mengalir di dahi. Pasti kita akan tersentuh dan untuk anak-anak, lihatlah wajah yang bekerja mengerah keringat demi untuk melihat kita berjaya....Hargailah mereka...jangan hampakan harapan mereka dan jadilah insan yang berguna....
No comments:
Post a Comment