Kenyataan Menteri Pengajian Tinggi yang akan mewujudkan Universiti Sains Sosial amatlah saya sokong. Sudah semestinya ia akan memberikan impak yang lebih baik untuk pembangunan Malaysia. Sebagai graduan Sains Sosial dari USM saya berpendapat ia akan sedikit sebanyak membuka ruang dan mata masyarakat bahawa pengajian dalam bidang Sains Sosial yang juga diiringi dengan Ilmu Kemanusiaan adalah penting kerana ia akan mencorakkan keadaan masyarakat dan struktur pentadbiran negara. Sebenarnya dalam kehidupan manusia, kita tidak boleh menolak sains sosial yang beriringan dengan sains tulen. Selalunya, bidang sains sosial dianggap kelas bawahan padahal ia adalah pengajian yang penting melihat masyarakat, norma dan nilai untuk kehidupan ini.
Sains Sosial adalah bidang yang meneliti tingkah laku sosial dan budaya manusia serta hubungan dengan persekitaran fizikal. ia meneliti bagaimana hubungan sesama kelompok, etnik, kepercayaan, politik dan lain-lain yang berkait rapat dengan manusia. Saya memetik kenyataan Timbalan Pengarah institut Alam dan Tamadun Melayu UKM Dr Teo Kok Seong (maafkan saya jika gelaran tersalah) dalam Berita Harian kelmarin bahawa sains sosial menjadi satu bidang yang amat diperlukan untuk memberi arah selain panduan golongan pentadbir dan profesional dalam urus tadbir organisasi masing-masing. Ia juga mampu berusaha membantu ummah memperbaiki kehidupan meraka dengan merangsangkan kemajuan.
Oleh itu, kita tidak boleh menidakkan kepentingan sains sosial dalam kehidupan serta mencorakkan hala tuju negara pada masa akan datang. Universiti Sains Sosial, kutunggu kewujudanmu...
No comments:
Post a Comment