Realiti kehidupan amat pahit untuk ditelan sedangkan khayalan lebih indah untuk di ingati…

Hanya Allah tempat mengadu kerana Allah Maha Berkuasa…


Nuffnang X

July 22, 2013

Harapan Ramadhan untuk Bisnes saya.

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera.
Hari ini sudah memasuki 13 Ramadhan, bermakna sudah 13 hari juga kita berpuasa.  Nampaknya Ramadhan sudah masuk waktu pertengahan.  Sekejap saja masa berlalu.  Bermakna sudah 9 hari saya memulakan bisnes baru.  Diharapkan sinar Ramadhan dan keberkatannya akan meresap dalam bisnes baru ini.
Pada tahun 2002, saya membuka kedai komputer iaitu hardware dan aksesori.  Ianya berlaku selepas lebih kurang setahun berniaga komputer dari rumah.  Masih ingat lagi waktu itu, keadaan bisnes baru itu.  Selain itu juga saya turut membaiki komputer serta memasangnya untuk dijadikan sistem.  Biarpun pada mulanya ada yang sangsi dengan kebolehan saya, makin lama ianya makin mendapat sambutan dan berkembang maju. Pelanggan datang bukan saja dari Kelantan tetapi juga Besut, Jerteh dan kawasan sekitarnya.  Memang nama perniagaan ini gah dimulut orang ramai.  
Pada tahun 2006, saya membuka langkah membuka cawangan dan juga membuka kafe siber.  Sudah ada juruteknik lelaki yang menguruskan hal berkaitan kerosakan dan lain-lain.  Bermakna sudah ada 3 buah kedai.  Sambutan kafe siber juga amat menggalakan maklumlah masih tiada wifi dan telefon pintar.  
Pada tahun 2008, suami saya bertukar jabatan dan terpaksa berkursus dalam tempoh yang agak lama. Juruteknik saya melanjutkan pelajaran dan saya pula keguguran akibat terlalu sibuk menguruskan perniagaan dan anak-anak.  Bermulalah era kemerosotan.  Saya tidak pernah berputus asa dan bagi saya semua usahawan akan mengalami zaman kejatuhan.  Nama-nama yang gah dalam  dunia sekarang juga pernah mengalami saat-saat kejatuhan.  Semuanya asam garam dalam kehidupan berniaga.
Akhirnya, pada 5 Ramadhan lalu saya telah menukar wajah kedai saya menjadi kedai tudung, pakaian dan tekstil.  Jiwa wanita memang tidak dapat lari dari kecantikan samada wajah atau diri.  Bagi saya, pengalaman selama 13 tahun dalam bisnes komputer amatlah dihargai untuk dijadikan renungan dan pengajaran. Mengapa saya memilih Ramadhan?  Bagi saya jiwa Ramadhan itu begitu suci dan biarlah ia mendapat keberkatan.  Untuk saya berpaling dan bekerja dalam kerajaan adalah tidak mungkin kerana saya adalah orang yang suka bekerja sendiri.  Jika saya ingin bekerja dalam bidang kerajaan, saya akan bekerja sebaik saja tamat pengajian di USM dulu.  Kesal dengan menceburi bidang bisnes yang penuh onak dan duri?  Saya tidak pernah kesal sebaliknya bersyukur kerana mungkin saya adalah antara insan yang kuat untuk menempuhi ranjau dalam perniagaan yang mungkin sesetengah orang tidak mampu untuk bertahan. Sememangnya amat sukar tetapi setiap pekerjaan ada cabaran masing-masing.
Doakan saya agar mampu bertahan dan bersama mewarnai dunia perniagaan ini.  Apa yang paling penting, keikhlasan, kejujuran, tidak pernah putus asa serta tidak iri hati yang boleh merosakkan dunia perniagaan itu kunci segalanya.  Berusaha untuk menjadi berjaya seperti mereka yang berjaya tetapi bukan mendoakan kejatuhan orang lain.  Nantikan saya dalam bisnes online selepas ini.  In Shaa Allah.

No comments:

Post a Comment