Profail
Sudirman Haji Arshad dilahirkan pada hari Rabu, 25 Mei 1954 di no. 48, Jalan Ibrahim, Temerloh, Pahang. Anak kepada Puan Hajjah Romlah binti Dahalan dan Haji Arshad bin Haji Hassan.
Ibunya, seorang wanita yang aktif di arena politik sebagai Ketua Wanita UMNO Pahang Selatan dan Wakil Rakyat Pertama 1955 mewakili Kawasan Temerloh, telah meninggal dunia pada tahun 1959 di usia muda 32 tahun (ketika Sudirman berumur 5 tahun) setelah mengidap penyakit kanser. Bapanya adalah pengurus Syarikat Bas Temerloh (Temerloh Bus Company), juga seorang ahli politik UMNO di Temerloh, Pahang. Bapanya telah berkahwin dengan Puan Mariam binti Mohammad setelah kematian isterinya, sebelum meninggal dunia pada 1978.
Sudirman adalah anak bongsu, adik beradik yang lain - Zainuddin, Rudiah, Basir, Roslan dan Roaini. Dari sejak kecil, Sudirman sering menyanyi di mana sahaja. Di sekolah pula, beliau memasuki pertandingan bersyair, berpidato, berpantun, kuiz dan terlibat dalam persembahan teater dan koir sekolah. Dia suka bersukan, senang berpidato dan setiap waktu di perpustakaan.
Sudirman memulakan persekolahnya pada tahun 1961 di Sekolah Rendah Abu Bakar (Mentakab), Sekolah Kebangsaan Jalan Bahagia (Temerloh) dan Sekolah Menengah Sultan Abu Bakar (Kuantan), Pahang sehingga beliau menamatkan Tingkatan 6. Sebelum memasuki Tingkatan 6, Sudirman menjalani kursus persediaan di ITM Petaling Jaya. Beliau mendapat tawaran melanjutkan pelajaran ke luar negeri tetapi dia menolak tawaran itu.
Pada tahun 1976, beliau melanjutkan pelajaran di Fakulti Undang-undang, Universiti Malaya (Kuala Lumpur). Di sebalik kepadatan jadual dalam bidang seni, beliau masih dapat membahagi masanya dengan baik di antara menyanyi dan kelas tutorial di Universiti Malaya. Pada tahun 1980 beliau telah menerima Ijazah undang-undang (LL.B) dengan mendapat Kepujian Kelas Ketiga. Tahun 1983, Sudirman menjalani latihan guaman dan diiktiraf sebagai Peguam pada tahun 1984. Bagaimanapun, Sudirman meninggalkan bidang guaman kerana memilih bidang seni sebagai kerjayanya.
Sudirman Haji Arshad mula mencipta namanya sebagai penyanyi apabila dia berjaya merebut gelaran Johan Bintang RTM peringkat akhir yang diadakan di Melaka pada 11 Ogos 1976. Beliau mendendangkan lagu Seruling Bambu dan Big Spender. Di peringkat awal saringan, beliau memberi jawapan spontan "seluar pinjam..." apabila disoal oleh pengacara rancangan mengenai seluar besar yang dipakainya. Para penonton suka caranya yang berterus terang. Beliau mendendangkan lagu Jali Jali, sebuah lagu klasik dari Indonesia. Jelas sekali suaranya memang unik.
Lagu-lagunya ada untuk pelajar sekolah, pekerja kilang, jururawat dan gadis desa seperti lagu Pesan Abang, Jamilah, Sepetang Di Pinggir Bukit, Orang Kampung dan banyak lagi. Ada lagu sentimental berkisar kepada alam percintaan hingga kepada lagu-lagu berunsur nasihat, patriotik, keamanan sejagat dan mencintai tuhan.
- Anak Muda, Anak Desa
Lagu seperti Apa Khabar Orang Kampung mengajak peminatnya supaya jangan lupa pada asal usul kita. Lagu Balik Kampung merupakan suatu kemestian bagi para perantau yang berpusu-pusu pulang ke kampung pada setiap menjelangnya hari raya, namun ia bukanlah pencetus keceriaan tetapi lebih kepada sentuhan rohani.
Ketika bermula era "siswazah menganggur" Sudirman terlebih dulu menyingkapkan dalam lagu Aku Penganggur. Sekalipun lagu ini berentak rancak tetapi isu yang dilontarkan tentang stigma penganggur sampai kepada sasaran.
Lagu Aku Dan Duniaku menceritakan Sudirman dengan dunia pilihannya, manakala lagu seperti Baru Dapat Kerja, Orang Muda dan Pulang Dari Kilang adalah paparan mengenai jiwa dan perasaan orang muda, terutama yang baru bekerja.
- Nasihat
Sudirman mengabadikan puisi nukilan Allahyarham JM Aziz iaitu Penyu Menangis Siapa Tahu yang sebenarnya mengenai rayuan seekor penyu agar manusia menghentikan pencemaran alam sekitar.
Lagu Pesta Dunia mencela manusia-manusia negara kaya yang membazirkan makanan dan memperpanjangkan kebuluran di negara-negara miskin. Tahun itu, lagu ini telah memenangi kategori lagu terbaik dan penyanyi terbaik di South East Asia Song Festival.
Manakala lagu-lagu seperti Punch Card dan Chow Kit Road bukan saja menghiburkan dan sedap didengar tetapi juga mempunyai mesej.
- Semangat patriotik
Suara bangga dan kagum pada negara, agama dan bangsa serta tokoh pemimpin diluahkan oleh Sudirman menerusi lagu Radio Malaysia, Bapak (ditujukan kepada Bapak Kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj), Kul It! (mengenai perpaduan kaum) serta One Thousand Million Smiles.
Beliau turut menyanyikan lagu yang ditujukan khusus kepada Allahyarham Puan Sri Saloma berjudul Mama. “Mama (panggilannya kepada Saloma) tidak percaya bila saya membuka mulut meminta kebenaran untuk saya cipta lagu untuknya. Kata Mama, P.Ramlee enggan cipta lagu untuknya kerana Saloma adalah miliknya, dan tidak perlu cipta lagu lagi,” kata Sudirman pada April 1983.
Sudirman meninggalkan lagu Salam Terakhir dan Dari Jauh Ku Pohon Maaf yang memberi makna besar kepada peminatnya.
“ | Walau apapun terjadi, bagi Sudir, perjuangan Sudir dalam bidang seni tiada noktahnya. Selagi nadi ini masih berdenyut, selagi peminat masih meminati Sudir, selama itulah Sudir berjuang dalam dunia hiburan. | ” |
“ | Dalam kerjaya saya sebagai penghibur, saya mahu lakukan bersungguh-sungguh supaya masyarakat terus mengingati buat selama-lamanya. | ” |
Kerjaya sebagai artis
- Duta Nyanyian
Sudirman dilantik sebagai duta bagi pelbagai syarikat terkenal seperti Proton, Malaysia Airlines, Honda Cup dan "honored pioneer card member" dengan Hong Leong.
- Konsert di Chow Kit Road
Jalan Chow Kit pada era Sudirman adalah gelanggang marhaen. Chow Kit menjadi simbol orang-orang kerdil yang juga peminat Sudirman. Maka konsert jalanan secara percuma adalah sebagai tanda terima kasih kepada para peminatnya yang tidak mampu menyaksikan persembahan di hotel dan dewan konsert, sekaligus memberitahu kita Sudirman bukan materialistik.
- Penghibur Terbaik Asia
Lagu One Thousand Smiles dirakamkan dalam bentuk single dan dipasarkan di Eropah. Proses rakaman lagu itu dibuat di Abbey Road Studio, tempat rakaman album bagi penyanyi megastars seperti The Beatles. Lagu ini dipilih sebagai lagu tema Malaysia semasa Hari Bangsa-Bangsa Bersatu.
- Persembahannya
Semasa Pertandingan Juara Lagu TV3 1987, Sudirman memenangi Anugerah Persembahan Terbaik kerana persembahannya begitu menyayat hati sewaktu mendendangkan lagu Merisik Khabar dengan petikan pemetik api simbolik beliau.
Malah beliau merupakan satu-satunya seniman yang boleh menyanyi dengan fasih pelbagai bahasa (bahasa Inggeris, Tamil, Cina dan Hindi) serta mengubah lagu sehingga berjaya mencuri hati setiap golongan masyarakat.
Sepanjang persembahannya, Sudirman diiringi band pengiringnya (The Glue), kumpulan penari (The Girls) dan penyanyi latar (The Giggles). Biarpun sibuk dan sudah dikenali, beliau masih meluangkan masa untuk belajar vokal dari penyanyi klasik terkenal bernama Florence Fong.
Sudirman juga seorang yang bijak bekerja. Dia bekerjasama dengan produser, suka berkongsi idea dengan penerbit untuk menghasilkan yang terbaik. Beliau memiliki kreativiti yang amat besar. Dengar saja penghayatan lagu yang dinyanyikannya. Beliau juga amat unik dengan penjiwaan di atas pentas. Bukan saja kerana nyanyian beliau, tapi tingkah lakunya yang sungguh terbuka, bekerja keras, menghormati seni dan rakan-rakannya dikagumi menjadikannya seorang insan istimewa.
Kejayaan Sudirman sebagai penghibur itu juga tidak dapat lari dengan lagu-lagu popular gubahan komposer terkenal seperti Datuk Ahmad Nawab, Ooi Eow Jin, S.Atan, Manan Ngah, Osman Ghani, Kassim Masdor dan M.Nasir, selain lirik puitis oleh Habsah Hassan menerusi luahan rasa sebenar penyanyinya. Habsah Hassan turut menulis skrip untuk Sudirman semasa membuat persembahan rancangan RTM dan majlis makan malam.
Beliau juga aktif di dalam Persatuan Penyanyi dan Pemuzik Tanahair (PAPITA) dan dilantik menjadi Timbalan Presiden PAPITA untuk satu penggal. Semasa hayatnya, Sudirman sangat mengutamakan pemilikan hak cipta. Dia mempertahankan nama dan haknya bagi memastikan tidak ada pihak ketiga mengambil kesempatan.
Beliau mempunyai ramai kenalan rapat, diantaranya dari kalangan wartawan (Bahyah Mahmood, Intan Zabidin, Saodah Ismail, Ku Seman Ku Hussin, Fauziah Samad, Adam Salleh, Tajaiyah Ihsan, Fatimah Hassan, Mokhtar Alias, Juwie, Huzz, Muzlina, Zubairi Zabidin) dan kalangan artis (Noor Kumalasari, Sharifah Aini, Anita Sarawak, Yusni Jaafar, Sarimah, Zaiton Sameon, Ramli MS).
Perkahwinan
Selepas menamatkan pengajian di Universiti Malaya, pada 14 Februari 1981, Sudirman menamatkan zaman bujangnya apabila berkahwin bersama kekasih pilihan hati yang telah dikenali sejak kecil Kamariah “Kay” Jamaluddin, seorang gadis yang bekerja di Petronas. Para peminat menyambut berita itu dengan gembira. Bagaimanapun, perkahwinan itu cuma bertahan selama tiga tahun sahaja. Ia berakhir dengan penceraian pada 25 Mei 1984 kerana tidak wujud lagi persefahaman antara mereka. Pasangan itu tidak mempunyai anak.Sahabat baik Sudirman, Noorkumalasari pernah berkata, suasana malam di rumah Sudirman sangat sayu menjelang perpisahan antara mereka. “Apabila cerai dilafazkan mereka bertangisan. Air mata tidak dapat dibendung,” kata Noor yang menyaksikan sendiri perceraian Sudirman dan Kay.
Dalam majalah Utusan Filem dan Fesyen (UFF) dalam kolum Masih Kuingat Lagi, Sudirman menulis, dua perkara yang sangat memilukan hatinya. Pertama, kehilangan ibu pada usia yang sangat muda. Keduanya, perkahwinannya yang gagal.
Sudirman merakamkan kedukaannya melalui pahit getir penceraian menerusi lagunya Terasing dan Merisik Khabar, malah beliau turut mencipta lagu Setiamu Tiada Lagi dendangan Ibnor Riza. Setelah bercerai, Sudirman menumpukan seluruh tenaga kepada kariernya termasuk menulis, melukis, dan menubuhkan syarikatnya sendiri.
Kematian
[1] 17hb Julai 1991, Sudirman dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di Pusat Perubatan Tawakkal Kuala Lumpur selama 4 hari. Dilaporkan beliau telah pengsan setelah terjatuh. Selama 7 bulan beliau terlantar sakit, keluarga rapatnya merahsiakan punca penyakit dan lokasi di mana Sudirman dirawat. Dalam tempoh itu, dia tidak ke mana-mana kecuali ke rumah kakaknya di Butterworth selama seminggu."Dia mahu peminat-peminatnya melihat dia sihat, ceria, penghibur yang hebat, sebagai hero di pentas. Sememangnya dia tidak mahu meninggalkan kenangan yang teramat sedih di hati peminat setelah melihat dia terlantar sakit dan meninggal dunia," begitu penjelasan kakak Sudirman, Rudiah apabila ditanya apakah Sudirman sendiri yang tidak mahu orang lain melihat dia sakit selain adik-beradiknya.
[[2]]Pada 22 Februari 1992 (bersamaan 18 Syaaban 1412), hari Sabtu jam 4:00 pagi, ketika berusia 37 tahun, Sudirman Hj Arshad telah kembali ke Rahmatullah di rumah kakaknya Rudiah bt. Hj. Arshad di alamat No.16, Jalan Taban Satu, Lucky Garden, Bangsar Park, Kuala Lumpur setelah 7 bulan menghidap penyakit radang paru-paru (pneumonia). Jenazah Allahyarham telah dibawa pulang ke Temerloh dan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kg. Chengal, Temerloh pada hari yang sama, jam 3:45 petang - di sebelah pusara orang tuanya. Ribuan peminat-peminat setia termasuk Perdana Menteri Malaysia ketika itu Dr. Mahathir Mohamad telah menziarahi jenazah Allahyarham yang dianggap sebagai satu kehilangan besar bagi dunia hiburan tanah air.
sumber: Wikipedia TQ izinkan saya share untuk tribute ini...
disini saya sertakan lirik dan audio Pelangi Petang antara lagu yang saya minati...Kesemua lagu beliau saya minati....
Pelangi Petang-Sudirman Hj Arshad
Kumeniti awan yang kelabu
Kutempuhi lorong yang berliku
Mencari sinar yang menerangi
Kegelapanku
Kupercaya pasti suatu masa
Sang suria kan menyinar jua
Membawa harapan yang menggunung
Bersamanya...
Engkau tiba bagaikan pelangi
Tak bercahya namun kau berseri
Tapi cukup menghiburkan
Hati ini
Seharian waktu bersamamu
Tak terasa saat yang berlalu
Bagai pelangi petang kau kan pasti
Pergi jua...
No comments:
Post a Comment